Tuesday 15 November 2011

universiti fail

Salam.

Aku baru selesai membaca macam-macam blog. Ada yang pasal bola, pasal pegangan hidup, pasal cinta dan banyak lagi. Kadang-kadang boleh sesat juga kalau baca cerita yang pelik-pelik. Elok lagi kita mengadap al-quran. Ye dak? Cukup, aku sudah lama tidak menulis jadi hari ini aku mahu kongsi tentang imaginasi. Ya, kau tentu ada imaginasi bukan? Aku punya imaginasi tetapi kalau aku hendak klasifikasikan imaginasi aku ini kepada tahap yang melampau, itu kau yang decide la.

Biar aku kongsi dahulu tentang akademik aku sebab imaginasi ini berkaitan dengan akademik. Aku sekolah di merata tempat. Selangor adalah negeri pertama aku bersekolah. Selepas itu, Pahang dan akhirnya aku menamatkan pembelajaran aku di Negeri Sembilan iaitu pada tahap Politeknik. Di tahap ini, aku melawan syarat yang direka oleh manusia untuk aku mendapatkan segulung diploma. Untuk diploma kau hanya perlu belajar selama 6 semester tapi aku tidak. Aku perlukan 9 semester untuk segulung diploma meletakkan aku sebagai seorang yang lembab. Ya, aku mengaku lembab tetapi bila sudah tahu kelemahan diri, cepat-cepat cari kekuatan agar kelemahan itu dapat di atasi. Jadi, apa kaitan cerita segulung diploma dengan imaginasi?

Bermulanya cerita dongeng. Aku mahu bina sebuah universiti yang dikhususkan untuk orang-orang yang masyarakat merasakan diri mereka tiada masa depan seperti penagih dadah, remaja rosak akhlak dan macam-macam jenis orang lagi yang mempunyai masalah kronik. Aku mahu namakan universiti itu dengan nama Universiti Fail atau singkatannya UniFail. Nampak gah bukan? 

Biar aku terangkan sedikit sebanyak tentang UniFail. Pengasasnya ialah aku. Tenaga pengajar juga aku dan internet. Universiti ini tidak mempunyai bangunan induk jadi pelajar-pelajar boleh belajar di mana-mana. Mudah bukan? Setiap pelajar akan diberi kad tertera nama UniFail. Jika pelajar-pelajar sedang melepak di kedai mamak sambil tengok bola, tiba-tiba mereka terasa ingin belajar. Mereka hanya perlu mengeluarkan kad tadi dan letakkan di atas meja. Dengan ini, pelajar ini sah sedang belajar di salah satu cawangan UniFail iaitu di kedai mamak tadi. 

Bagaimana pula dengan matapelajaran? Ini tertakluk dengan apa yang terlintas di kepala otak pelajar tersebut. Kalau mereka terfikir untuk belajar menjahit, mereka akan belajar menjahit. Mudah bukan? Aku tidak mahu mereka terseksa dengan kewajiban belajar benda-benda yang dipaksa. Jadi, aku berikan mereka pilih untuk apa yang mereka mahu belajar. Tentang peperiksaan akhir pula, aku meletakkan pointer minima untuk lulus ialah 3.0 manakala pointer untuk cemerlang ialah 2.0. Siapa yang hadir waktu peperiksaan akhir di kira gagal. Mereka hanya perlu duduk di rumah membantu ibubapa dan keluarga mereka dan pemarkahan diberikan oleh pihak ibubapa sahaja. 

Bagi majlis konvokesyen, pelajar-pelajar tidak perlu hadir untuk majlis tersebut kerana ianya membuang masa. Buat apa kau hendak beratur panjang, lepas itu salam orang tua yang pakai topi empat segi sambil perbuatan kau tadi dirakam oleh jurukamera dan foto yang terhasil nanti akan dihantar ke rumah kau dengan kadar harga rm45 sekeping atau lebih. Semua itu tidak perlu. Bagi UniFail, 3 hari sebelum konvokesyen kau akan mendapat sehelai baju konvo yang sudah siap. Dihantar melalui pos laju atau fedex. Bila tiba hari konvokesyen, kau pakai baju konvo tersebut dan kau minta ibu atau bapa kau beri kau segulung diploma sebab mereka yang banyak didik kau. Kalau mereka tidak mahu beri kau segulung diploma, bermakna kau sudah gagal. Selepas itu, kau bergambar sendiri dengan ibubapa kau di rumah dan kau gantungkan gambar itu di ruang tamu sebagai kenang-kenangan.

Ini adalah serba sedikit tentang UniFail. Benda ini sudah lama aku bincangkan dengan kawan-kawan aku. Mereka kata ianya bagus untuk negara dan bakal menyebabkan negara ini disegani oleh dunia. Mereka juga sebulat suara mengatakan aku gila. Ala, ini hanya imaginasi tetapi kalau benda betul pun apa salahnya. Ye dak?

Nampaknya sudah panjang aku mengarut. Elok aku berhenti dan solat asar. Menulis benda mengarut boleh menyebabkan kita lagho' pada Allah. Cabut dulu la ya!

No comments:

Post a Comment