Friday 3 February 2012

ini sebabnya

Salam.

Orang selalu tanya, "kenapa jadi begini?"

Aku tidak menjawab. Aku senyum tetapi senyum itu terasa semacam tidak ikhlas. Bila soalan itu ditanya aku kembali melayang ke waktu dulu. Kembali ke dunia yang semuanya aku langgar. Macam hidup tiada undang-undang, tiada hukum-hakam. Senang kata semua ikut aku punya suka. Ya, memang hidup itu nampak seronok tetapi aku lupa akad dan tujuan aku dijadikan di dunia ini.

Orang tanya lagi, "kongsilah dengan kami sebabnya."

Sekali permintaan memang berat aku hendak tunaikan tetapi jika tujuannya untuk kebaikan, aku akan tunaikan juga. Aku pakai kata hijrah sebab maksudnya aku berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain cuma kali ini aku tambahkan dengan kehidupan jadilah hijrah kehidupan. Ini ceritanya, detik untuk berhijrah sudah lama ada cuma aku kalah dengan bisikan iblis pada waktu itu. Senang sangat ikut kata iblis sampai jadi tertangguh-tangguh. Sampailah suatu masa bila fikir tentang usia, tentang hasrat emak dan abah yang mahu membawa aku ke tanah suci. Umur sudah makin bertambah tetapi perangai masih tidak berubah. Suka sangat benda-benda lalai. Sudahlah diri jahil inikan pula mahu ke tanah suci. Menggigil takut dengar berita itu, takut kena balasan Allah SWT. Aku nekad berubah, aku tidak mahu lagi di lopak lama yang penuh dengan dosa. Waktu itu semua aku paksa. Solat paksa, mengaji paksa semua benda kena paksa sampailah di suatu majlis ilmu. Di situ ceritanya tentang ikhlas seorang muslim. Aku lupa tentang ikhlas dalam beribadah, dalam melaksanakan kewajipan.

Mula dari itu aku merangkak belajar tentang ikhlas dan sabar. Sekarang setiap hari bermuhasabah dengan diri sendiri, sudah berapa tahun aku menjadi muslim? 24 tahun. Sudah berapa tahun aku benar-benar menjadi seorang muslim yang hanya bukan pada nama? Aku masih belum mendapat jawapan ini dan masih lagi berusaha untuk mendapatkan jawapan ini.

"Ya Allah, kuatkan aku. lindungilah aku dari putus asa. jika aku harus mati, pertemukanlah aku dengan-Mu dalam keadaan diredhai oleh-Mu."


Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku. (Surah adz-Dzaariyaat 51: Ayat 56)

No comments:

Post a Comment